Quantcast

Brunei Sambut hari Kebangsaan Ke-28, 23 Februari (Hampir 20 ribu peserta terlibat Upacara Perhimpunan Agung)

Posted by info.mcys info.mcys  
Report Content as Inappropriate
Options
Pelita Brunei - BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 21 Februari. - Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara akan menjadi tumpuan bagi Perhimpunan Agung Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-28 pada hari Khamis, 23 Februari 2012. Tema sambutan tahun ini ialah 'Negaraku Bruunei Darussalam'.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat-kerabat diraja akan berangkat bercemar duli bersama-sama rakyat baginda di perhimpunan agung itu nanti.

Perhimpunan terbesar itu melibatkan 19,627 peserta perbarisan lalu meliputi komposisi 122 pasukan terdiri dari pembawa bendera kebangsaan, pembaca ikrar, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan berpakaian seragam, kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, pasukan istimewa, daerah-daerah, sektor swasta, institusi pengajian tinggi, maktab-maktab, sekolah-sekolah, pertubuhan-pertubuhan awam dan persatuan-persatuan termasuk warga asing. Selain itu seramai 7,700 peserta pula akan terlibat dalam acara padang.

Tema sambutan 'Negaraku Brunei Darussalam' seperti juga tahun lalu menekankan rasa kepunyaan rakyat terhadap negara di samping memperlihatkan suatu pengakuan bahawa Negara Brunei Darussalam adalah negara kita.

Latihan-latihan intensif dan bersepadu bagi memantapkan lagi persembahan Upacara Perhimpunan Agung telah dijalankan pada di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien yang berakhir hari ini.

Rakyat dan penduduk negara ini amat beruntung dan bertuah kerana dalam masa 28 tahun mencapai kemerdekaan sejak 1 Januari 1984 kita telah mencapai beberapa kejayaan cemerlang yang sekali gus telah berjaya melonjakkan bumi Brunei Darussalam ke puncak kegemilangan yang terbilang. Melalui lanskap kestabilan politik, ekonomi yang kukuh dan corak kepimpinan yang cemerlang telah membolehkan bangsa kita sejajar dengan masyarakat antarabangsa dan negara kita terus dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara antarabangsa.

Kini negara memasuki sambutan ke-28 yang akan kita rayakan dalam kesederhanaan, semboyannya tetap sahaja 'hebat' dan ketara di sana sini dengan kibaran megah bendera kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang berwarna kuning, putih dan hitam di seluruh pelusuk tanah air. Persiapan untuk menyambut hari bersejarah itu terus sahaja rancak berjalan dalam meniti hari Perhimpunan Agung Hari Kebangsaan yang bakal berlangsung pagi hari di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, ibu negara, 'venue' yang menempa sejarah yang cukup manis yang menjadi saksi semboyan laungan Allahhu Akbar sebanyak tiga kali yang mengiringi kemunculan Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

(Oleh : Pg. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor)
Loading...