Pelita Brunei - BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 12 Mei. - Sebanyak lima buah pasukan telah menyertai Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) Peringkat Jabatan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung pagi tadi di Balai Sarmayuda, DBP, di sini.
Pengarah DBP, Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin semasa berucap menyatakan salah satu mekanisme penting untuk mencapai kecemerlangan Perkhidmatan Awam ialah dengan menilai apa jua kekurangan, kelemahan dalam Perkhidmatan Awam, dan untuk memperbaiki dan menilai kelemahan dan kekurangan itu pula adalah setentunya melalui KKC.
"Apa yang saya dapat lihat melalui KKC ini, semua peserta yang mengambil bahagian tidak secara langsung akan terdedah dengan teknik-teknik asas dalam menyelesaikan masalah, serta mewujudkan minda kreatif yang dapat bergerak cepat, pantas, kritis dan responsif untuk meningkatkan kemajuan organisasi," terangnya.
Beliau berkata, tiga pasukan terbaik pada hari ini akan mewakili jabatan ke Konvensyen KKC Peringkat Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Oleh kerana banyak kebaikan yang diperolehi melalui KKC ini katanya, maka adalah disarankan agar KKC ini dibudayakan di kesemua bahagian di jabatan berkenaan sebagai usaha untuk mempertingkatkan produktiviti dan keberkesanan fungsi, tugas dan tanggungjawab masing-masing serta mampu berdaya saing dengan melibatkan dan memanfaatkan kebolehan dan potensi semua pegawai dan kakitangan bagi menyumbang dan menjana perubahan-perubahan berkualiti, realistik, dinamik dan kompetitif.
"Jika perkara ini dapat diangkat dan dikongsikan melalui KKC maka sudah pasti kita akan dapat memperkemas lagi perkhidmatan yang kita berikan kepada orang ramai dan sudah setentunya juga TPOR kita dapat berjalan dengan lebih berkesan," tambahnya.
Konvensyen KKC DBP ini merupakan salah satu strategi DBP ke arah menyemai dan menanamkan kualiti dan mutu perkhidmatan yang cemerlang dan dapat meningkatkan kemahiran dan menyemai sikap kendiri, komitmen, berwibawa, berpersepsi, beraspirasi, berkeyakinan dalam menyelesaikan dan menangani segala masalah yang dihadapi dan mempraktikkan secara berpasukan.
Objektif konvensyen ini adalah untuk menjadikan konsep 'syura' melalui kaedah 'usrah' sebagai amalan, di samping dapat mempergiatkan program KKC secara berterusan dalam menjadikan KKC sebagai budaya kerja dalam memantap dan memajukan DBP. Selain itu ianya juga dapat menyelesaikan masalah dengan menggunakan kaedah yang diguna pakai dalam KKC dan memberikan dorongan kepada pegawai dan kakitangan DBP dalam meningkatkan dan mempromosikan penggunaan perpustakaan dan menggalakkan tabiat membaca.
(Oleh : Khartini Hamir)